92 Orang PATI Indonesia Diusir Keluar Dari Sabah

NEWSLAN-ID KOTA KINABALU: Seramai 92 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia diusir keluar dari Sabah menerusi program pemindahan tahanan PATI siri 21 hari ini.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, penghantaran pulang PATI warganegara Indonesia ke negara asal mereka itu dilakukan dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia.

“Kesemua PATI yang dihantar itu berusia antara bawah 11 hingga 57 tahun yang terdiri daripada 91 orang dewasa dan seorang kanak-kanak.

“Kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang ini, dihantar bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Sitti Saleha, proses pemindahan tahanan dilakukan dengan iring kawal masuk sehingga ke dalam vessel (laut) Mid East Express dari Pelabuhan Tawau sehingga ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.

Kesemua PATI yang diusir keluar itu telah selesai menjalani hukuman atas pelbagai di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Beliau juga mengingatkan semua warga asing untuk masuk ke negara ini dengan menggunakan dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di negeri Sabah.

Jelas beliau, operasi pemindahan itu sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di Sabah.

JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta telah mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing.(**)

Baca Juga :   Pilkades Serentak Di Demak Berjalan Lancar
Mau Pesan Bus ? Klik Disini